KUALA KUBU BHARU: Tiada caruman tambahan di atas kadar 11% yang dipotong daripada gaji suami untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi isteri yang menjadi suri rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah, yang memegang portfolio pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sudah salah faham mengenai rancangan caruman untuk isteri itu.
“Dua peratus dalam 11%, tidak ada potongan tambahan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program lawatan turun padang di Rumah Ehsan, tempat perlindungan untuk warga emas yang uzur, daif dan tidak berwaris, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada kenyataan MTUC 24 Mei lalu yang membantah penggubalan undang-undang bagi mewajibkan seorang individu mencarumkan gaji untuk pasangan kerana gaji adalah milik peribadi.
Kadar caruman berkanun di pihak pekerja ditetapkan pada 11% untuk pekerja berusia bawah 60 tahun dan 5.5% untuk pekerja berusia 60 tahun ke atas.
Sebelum ini, Wan Azizah berkata kementerian akan menemui KWSP untuk menyerahkan pelan tindakan dan berbincang mengenai potongan caruman suami untuk isteri.
Ditanya apakah rancangan Pakatan Harapan ini juga untuk suami yang menjadi suri rumah, dan suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, Wan Azizah berkata perkara itu akan “dibincangkan kemudian”.
“Jumaat ini akan jumpa ketua pegawai eksekutif KWSP. Kita ada perincian. Nak iktiraf isteri-isteri akan diperincikan. Kes suami tidak bekerja dan lain-lain akan dibincangkan kemudian,” katanya.
Sementara itu, Wan Azizah menafikan khabar angin mengaitkan anaknya, Nurul Izzah dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. “Astaghfirullahalazim. Jangan dengar khabar angin,” katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu hari ini menafikan mesej tular mendakwa beliau akan berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan berkata ada perkara lebih penting yang perlu diberi perhatian.
Wan Azizah jumpa KWSP penuhi janji ambil 2% gaji suami untuk suri rumah
PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyediakan pelan tindakan memberi caruman KWSP kepada suri rumah, salah satu janji Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Timbalan perdana menteri yang juga merangkap menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu ia bagi merealisasikan manifesto PH untuk caruman KWSP kepada suri rumah, di mana 2% diambil daripada gaji suami.
“Saya akan bertemu CEO KWSP bagi membincangkan mekanisme siapa yang layak, bagaimana 2% daripada gaji suami diambil untuk isteri akan dikaji secara mendalam, sebab ia melibatkan dana kerajaan RM50 pada sesiapa layak menerima,” katanya.
Wan Azizah tiba di kementeriannya untuk mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pertama. Turut hadir pada majlis hari ini ialah bekas menteri Datuk Seri Rohani Abd Karim.
Sementara itu, Wan Azizah berkata semua menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen di pihak kerajaan akan diwajibkan mengisytihar harta mereka bagi menunaikan sebahagian janji PH.
Katanya, pelaksanaan ke arah itu akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.“Ini sebahagian daripada pengurusan kita,” katanya.
Wan Azizah turut mengumumkan pasukan petugas khas mengenai masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak, susulan laporan kajian Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang menunjukkan keluarga miskin di bandar raya Kuala Lumpur mengalami masalah terbantut dan obesiti.
“Kita lihat yang obesiti juga kerana makan makanan tidak sihat. Kita perlu lakukan kajian secara menyeluruh melibatkan pakar ekonomi, pemakanan dan pendidikan.”
Sumber : sinarvirall
0 comments:
Post a Comment