TASEK GELUGOR: Lebih 1,000 penduduk kampung hadir memeriahkan jamuan berbuka puasa bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu di Kampung Guar Petai di sini pada Ahad.
Mohamad yang lebih mesra disapa Mat Sabu berkata, beliau amat terharu dan tidak menyangka jamuan berbuka puasa kali ini cukup meriah berbanding sebelum ini.
Menteri Pertahanan itu juga memaklumkan, jamuan itu bukan merupakan anjuran kementerian, sebaliknya dianjurkan beliau sendiri bagi meraikan saudara mara dan penduduk kampung sempena Ramadan ini.
“Saya tak menyangka. Saya hanya nak buat kenduri kecil untuk rakan dan kawan. Kawan-kawan letak di Facebook (pengumuman), maka kena buat ‘contingency’, menambah lauk.
“Kalau tak cukup, saya mohon maaf. Tiap-tiap tahun saya buat (jamuan) kecil. Jamuan hari ini bukan anjuran kementerian, tetapi jamuan Abang Mat sebagai orang kampung ini,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa terima kasih dan terharu dengan kehadiran rakyat yang tidak putus-putus menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan.
Mat Sabu berkata demikian kepada media pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, pada Ahad.
SUMBER : ASTRO AWANI
Belum bincang RUU355 – Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (Amanah) belum memuktamadkan sebarang pendirian parti itu berhubung cadangan supaya usul Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dibentangkan di Parlimen.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat parti akan datang sebelum memutuskan pendirian berhubung perkara berkenaan.
Katanya, tumpuan Pakatan Harapan (PH) ketika ini adalah untuk menyelamatkan dan memulihkan Malaysia dari beban hutang selain membanteras rasuah dan penyelewengan berikutan pembongkaran yang ditemui amat mengejutkan.
“Ini (masalah hutang negara) tumpuan paling utama sekarang. Soal RUU 355 kita akan bincang dari masa ke semasa dalam parti Amanah dan Pakatan Harapan.“Tetapi, perkara yang perlu disegerakan adalah masalah ekonomi, masalah kehidupan rakyat, menyelamatkan dari kita terjerumus ke kancah seperti Greece.“Saya yakin kita tak akan sampai ke tahap itu. Tetapi, kalau tersilap langkah, kita akan pergi ke arah seperti itu, maka rakyat dan semua kita akan menderita,” katanya merujuk keadaan ekonomi di Greece.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Guar Petai, dekat Tasek Gelugor, pada Ahad.
Mohamad diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menggesa bekas pemimpin Pas yang kini Ahli Parlimen Amanah menunaikan janji bagi membolehkan RUU 355 dibentangkan di Parlimen.
Mohd Amar berkata, sebelum ini, pemimpin Amanah mendakwa perlu membentuk kerajaan terlebih dahulu untuk membolehkan mereka bersuara di Parlimen.
Usul persendirian RUU 355 itu tidak dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat pada April lalu walaupun berada dalam aturan mesyuarat bagi mendahulukan urusan kerajaan yang lain selaras dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 15(1).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menetapkan sesi perbahasan RUU 355 akan berlangsung pada sidang Dewan Rakyat akan datang, yang dijangka diadakan pada Julai ini.
SUMBER : ASTRO AWANI via dahkebelum
0 comments:
Post a Comment